ntara rampasan termasuk kokain dan kereta mewah dengan nilai mencecah RM3.2 juta susulan pembongkaran makmal dadah haram di Nilai. - Foto ihsan polis
SEREMBAN: Polis Negeri Sembilan membongkar operasi makmal haram memproses dadah hasil serbuan ke atas sebuah premis di Nilai, dekat sini, dengan kokain dianggar bernilai lebih RM400,000 dirampas.
Hasil serbuan, lima lelaki termasuk tiga warga asing berusia 27 hingga 38 tahun ditahan, manakala pelbagai peralatan dan cecair kimia yang disyaki untuk memproses dadah, selain wang tunai dan kereta mewah turut dirampas.
Ketua Polis negeri, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata kejayaan serbuan dilakukan hasil siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri Sembilan bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Nilai.
"Hasil serbuan ini, kami merampas dadah dipercayai jenis kokain dengan anggaran berat 2.145 kilogram (kg) bernilai RM429,000.
"Polis turut menyita empat kenderaan, wang tunai bernilai RM66,830, pelbagai mata wang asing anggaran RM29,822.70, serta pelbagai jenis barang kemas dan jam tangan bernilai RM477,773.
"Nilai rampasan aset dianggarkan RM2.8 juta, manakala nilai keseluruhan termasuk dadah berjumlah RM3.2 juta.
"Tindakan diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988," katanya.
Tambahnya, ujian saringan awal air kencing mendapati seorang warga tempatan dan seorang warga asing positif dadah jenis methaphetamine serta benzo.
"Semakan rekod mendapati dua suspek mempunyai kesalahan jenayah dan dadah. Semua direman selama tujuh hari bermula Selasa lalu hingga 24 Februari depan," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
|