BRYAN (kiri) meninggal dunia akibat kesilapan pakar bedah dalam prosedur pembedahan. FOTO Agensi
Washington: Seorang pakar bedah di Amerika Syarikat (AS) digantung kerja selepas didakwa menutup kematian pesakit akibat kesilapan dalam satu prosedur yang dikendalikannya.
Metro UK melaporkan, Dr Thomas Shaknovsky mengambil hati William Bryan yang berusia 70 tahun dan bukannya limpa ketika pembedahan di Hospital Ascension Sacred Heart Emerald Coast, Florida.
Keluarga William mendakwa jururawat cuba menutup kesilapan Shaknovsky dengan menulis maklumat palsu pada sijil kematian dan dokumen lain.
Mereka memfailkan saman minggu lalu dengan menyatakan empat jururawat sengaja menulis punca kematian yang salah pada Ogos lalu.
Menurut rekod, William dari Alabama tinggal di rumah sewanya bersama isterinya, Beverley dan mengalami sakit di sebelah kiri badannya.
Pada awalnya, William menolak nasihat untuk menjalani pembedahan kerana ingin berjumpa doktornya di rumah. Bagaimanapun, rasa sakit itu bertambah sehingga dia bersetuju untuk ke hospital.
Beverley berkata suaminya adalah "mangsa pembunuhan di bilik bedah."
"Kehilangan yang menyayat hati ini menghancurkan keluarga William Bryan, dan kami sedang menuntut keadilan untuk tragedi yang tidak masuk akal ini," kata peguam Joe Zarzaur.
Lesen Shaknovsky digantung pada November oleh Pakar Bedah Negara, Joseph Ladapo, kerana "kesilapan pembedahan teruk berulang yang mengakibatkan kecederaan ketara kepada William dan pesakit lain."
GenesisCare USA dari Florida, yang dinamakan dalam saman itu, tidak mengulas mengenai litigasi yang belum selesai tetapi memberitahu McClatchy News bahawa fikiran dan doa mereka bersama keluarga serta semua yang terjejas.
Keluarga Bryan menuntut lebih AS$150,000 (RM630,000) sebagai ganti rugi untuk perbelanjaan perubatan dan pengebumian, penderitaan mental, serta kehilangan persahabatan dan perlindungan.
Dalam pembedahan lain, Shaknovsky pernah tersilap membuang pankreas pesakit, menurut perintah penggantungan kecemasan. Dalam prosedur berasingan pada 2023, seorang lagi pesakitnya meninggal dunia.
Saman itu difailkan hampir setahun selepas seorang doktor di Connecticut disaman kerana didakwa membunuh bayi dengan menggunakan vakum 15 kali ketika bersalin sebagai alternatif untuk mempercepatkan kelahiran.
|