GAMBAR ini menunjukkan pemandangan kawasan Masjid Al-Aqsa dan Masjid Qubbat As-Sakhrah di Baitulmaqdis pada 20 Disember 2024. FOTO AFP
Riyadh: Arab Saudi pada Rabu mengesahkan tidak akan menjalin hubungan dengan Israel melainkan sebuah negara Palestin ditubuhkan.
Ia reaksi susulan kenyataan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu yang menzahirkan pendapat normalisasi dengan kerajaan teluk itu akan berlaku.
"Arab Saudi akan meneruskan usaha tanpa henti untuk menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya, dan tidak akan menjalin hubungan diplomatik dengan Israel tanpa itu," ciap Kementerian Arab Saudi dalam satu kenyataan di X.
Kedua-dua Presiden AS Donald Trump dan pendahulunya Joe Biden menyokong Israel dan Arab Saudi mempunyai hubungan diplomatik.
Riyadh menghentikan perbincangan tentatif mengenai perkara itu pada awal konflik Gaza dan menegaskan retoriknya ketika perang berterusan.
Kenyataan Kementerian Luar itu dibuat dengan pantas susulan kenyataan Netanyahu.
"Mewujudkan hubungan rasmi bukan sahaja boleh dilaksanakan, saya fikir ia akan berlaku," kata Netanyahu.
Kerajaannya tetap menentang penyelesaian dua negara yang disokong antarabangsa.
Netanyahu bercakap di Rumah Putih bersama Trump, yang pentadbirannya pada 2020 memeterai perjanjian yang menyaksikan Israel menjalin hubungan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Maghribi dan Bahrain.
Itu menimbulkan harapan untuk perjanjian serupa dengan Arab Saudi.
Arab Saudi tidak mengiktiraf Israel namun merundingkan perhubungan semula sejak 2020 sebagai pertukaran untuk pakatan pertahanan AS dan bantuan Washington dalam program nuklear awam.
|